Siti Hajar seorang Wanita Solehah
Assalamualaikum.. Bismillah..
Siti Hajar seorang wanita solehah
Dalam bahang terik mentari, di tengah-tengah padang pasir yang kering
kontang, Nabi Ibrahim a.s. terus menunggang unta bersama Siti Hajar. Walaupun
perjalanan agak sukar, namun hal itu tidak memberi kesan kepada mereka. Yang
lebih diharapkannya ialah ketabahan hati untuk meninggalkan Siti Hajar dan
bayinya di bumi gersang itu.
Sepanjang perjalanan, dikuatkan hatinya untuk terus
bertawakal. Dia yakin, Allah tidak akan menganiaya hamba-hamba-Nya. Pasti ada
hikmah di sebalik perintah itu.Setelah lebih kurang 6 bulan perjalanan, tibalah
mereka di Makkah. Nabi Ibrahim memilih salah sebuah lembah di tengah-tengah padang pasir. Nabi
Ibrahim a.s. turun dari untanya dan mengikat tali unta di sebatang pokok tamar.
Bahang sinaran matahari bukan kepalang. Tekaknya yang dari
tadi kehausan, sedikitpun tidak diendahkannya. Yang difikirkannya, bagaimanakah
cara memberitahu isterinya tentang perintah Allah SWT itu. Sepanjang perjalanan
tadi lidahnya seolah-olah kelu untuk berkata-kata.
Setelah Siti Hajar diturunkan, tanpa berlengah lagi Nabi
Ibrahim a.s. bersiap sedia untuk pergi. Apabila Siti Hajar melihat perlakuan
suaminya, yang bergegas-gegas mahu pergi, ditariknya jubah suaminya sambil
merayu-rayu : "Wahai suamiku, apakah aku akan ditinggalkan bersama anakmu
di sini?"
Tanpa memandang wajah isterinya yang dicintainya, Nabi
Ibrahim a.s. hanya mampu menganggukkan kepala. ""Oh... kiranya kerana
dosaku menyebabkan engkau bertindak begini, ampunkanlah aku. Aku tak sanggup
ditinggalkan di tengah-tengah padang
pasir yang kering kontang ini." "Tidak wahai isteriku, bukan kerana
dosamu...". "Kalau bukan kerana dosaku, bagaimana dengan anak ini...
Anak ini tidak tahu apa-apa. Tergamakkah engkau meninggalkannya?"
Hati Nabi Ibrahim a.s bagai disayat-sayat. Pilu dan pedih
hatinya, hanya Allah SWT yang tahu."Tidak, bukan itu maksudku. Tapi apa
dayaku... ketahuilah, ini semua adalah perintah Allah SWT."
Bila disebut ia perintah Allah SWT, Siti Hajar terdiam.
Kelu lidahnya untuk terus merayu. Terbayang olehnya penderitaan yang bakal
dihadapi sendirian nanti. Dia yakin kalau tidak kerana perintah Allah SWT,
masakan sanggup suaminya meninggalkan dia serta anaknya di situ. Dia sedaya
upaya menguatkan pergantungan dan pertolongan kepada Allah SWT. Namun hatinya
masih tertanya-tanya, apakah hikmah di sebalik perintah Allah SWT itu?
Sewaktu gelodak hatinya semakin memuncak, dengan rahmat
Allah SWT, disingkapkan penglihatan Siti Hajar ke suatu masa akan datang.
Digambarkan tempat itu nantinya akan didatangi oleh manusia dari serata pelusuk
dunia, yang berduyun-duyun datang untuk membesarkan Allah SWT. Melihat
peristiwa itu, terpujuklah hatinya. Cinta dengan ALlah, dengan menegakkan
agama-Nya, perlukan pengorbanan...
Lalu dengan hati yang berat tetapi penuh keyakinan, Siti
Hajar berkata kepada suaminya :"Jika benar ia adalah perintah Allah SWT,
tinggalkanlah kami di sini. Aku redha ditinggalkan" suara Siti Hajar
mantap sambil mengesat air matanya yang berlinangan.
Ditabahkan hatinya dengan berkata : "Tentang
keselamatan kami, serahkanlah urusan itu kepada Allah SWT. Pasti Dia akan
membela kami. Masakan Dia menganiaya kami yang lemah ini."
Siti Hajar menggenggam tangan suaminya. Kemudian
dikucupnya, minta redha di atas segala perbuatannya selama mereka bersama.
"Cuma...," katanya lagi, "doakanlah agar datang pembelaan Allah
SWT kepada kami."
Nabi Ibrahim a.s sangat terharu dan bersyukur. Isterinya
Siti Hajar memang wanita terpilih. Dia segera mengangkat tangannya untuk berdoa
: "Ya Tuhan kami, aku tinggalkan anak dan isteriku di padang pasir yang tandus tanpa pohon berkayu
dan buah-buahan. Ya Tuhan kami, teguhkanlah hati mereka dengan mendirikan
sembahyang, jadikanlah hati manusia tertarik kepada mereka, kurniakanlah rezeki
pada mereka dari buah-buahan mudah-mudahan mereka bersyukur kepada-Mu.
Menitis airmatanya mendoakan keselamatan anak dan isteri
yang dicintai. Hati suami mana yang sanggup meninggalkan anak dan isteri di padang pasir tandus yang
sejauh enam bulan perjalanan dari tempat tinggalnya. Namun atas keyakinan yang
padu pada janji Allah SWT, ditunaikan juga perintah Allah SWT walaupun risiko
yang bakal dihadapi adalah besar. Selesai berdoa, tanpa menoleh ke arah isteri
dan anaknya, Nabi Ibrahim a.s terus meninggalkan tempat itu dengan menyerahkan mereka
terus kepada Allah SWT. Tinggallah Siti Hajar bersama anaknya yang masih merah
di dalam pelukannya. Diiringi pemergian suaminya dengan linangan air mata dan
syukur. Ditabahkan hati untuk menerima segala kemungkinan yang akan berlaku.
Tidak lama selepas pemergian Nabi Ibrahim a.s, bekalan
makanan dan minuman pun habis. Air susunya juga telah kering sama sekali.
Anaknya Ismail a.s menangis kehausan. Siti Hajar hampir buntu. Di mana hendak
diusahakannya air di tengah padang
pasir yang kering kontang itu? Sedang dia mencari-cari sumber air, dilihatnya
dari jauh seperti ada air bertakung. Dia berlari ke arah sumber air itu. Tetapi
apa yang dilihatnya hanyalah fatamorgana. Namun SIti Hajar tidak berputus asa.
Dari tempat lain dia ternampak seolah-olah di tempat di mana anaknya diletakkan
memancar sumber mata air. Diapun segera berlari ke arah anaknya. Tetapi sungguh
malang , yang
dilihatnya adalah fatamorgana. Tanpa disedari dia telah berulang-alik sebanyak
tujuh kali antara dua bukit, Safa dan Marwa untuk mencari sumber air.
Walaupun tubuhnya telah keletihan berlari ke sana ke mari mencari
sumber air, namun tiada tanda-tanda dia akan mendapat air. Sedangkan anak yang
telah kehausan itu terus menangis sambil menghentak-hentakkan kakinya ke bumi.
Tiba-tiba dengan rahmat Allah SWT, sedang Siti Hajar mencari-cari air,
terpancutlah air dari dalam bumi di hujung kaki anaknya Ismail a.s. Waktu itu
gembiranya hati Siti Hajar bukan kepalang. Dia pun mengambil air itu dan
terkeluar dari mulutnya, "Zami, zami, zami.." yang bermaksud,
berkumpullah, kumpullah. Seolah-olah dia berkata kepada air itu,
"Berkumpullah untuk anakku."
Selepas peristiwa itu, kabilah-kabilah yang berlalu akan
berhenti untuk mengambil air. Ada
pula yang terus bermastautin di lembah Bakkah (Mekah) kerana dekat dengan
sumber air itu. Begitulah kehendak Allah SWT. Sengaja didatangkan sebab musabab
untuk menjadikan Islam gemilang dan Mekah menjadi tumpuan manusia untuk
berdatangan.
Ya, Siti Hajar, seorang wanita solehah yang merupakan
isteri Nabi yang paling dicintai ALlah SWT, adalah perintis kepada semua
peristiwa itu, hingga Makkah sekarang menjadi tempat yang paling diberkati dan
aman.
Sekian...
0 Comment
Greetings and Assalamualaikum...
Sila tinggalkan komen anda di sini..
Will pay a visit back! Thank You