Lavender Harumnya Menenangkan

by - February 21, 2013



Lavender Harumnya Menenangkan 



Keharuman lavender memang tidak dapat dinafikan. Disebabkan bau yang harum itu jugalah, lavender telah dijadikan sebagai minyak wangi dan minyak aroma terapi

Pada zaman dahulu, orang Roman dan Greek akan mandi dalam air yang dicampurkan dengan lavender. Tujuan mereka berbuat sedemikian adalah untuk menenangkan diri setelah letih bekerja. Perkataan lavender berasal daripada perkataan Latin Elavarei yang bermaksud untuk mencuci. Ia telah digunakan sebagai tumbuhan perubatan untuk merawat pelbagai keadaan berkaitan system saraf seperti insomnia, pening migraine dan kemurungan. Ia juga dikatakan mempunyai bahan antibiotik yang kuat. 

Lavender yang tergolong dalam keluarga Laviatea ialah tumbuhan renik yang secara semula jadinya memang banyak terdapat di bahagia barat Mediterenian, dan ditanam secara meluas di pelbagai tempat di Perancis, Itali, England dan Norway, terutamanya bagi mendapatkan bunganya yang beraroma harum ini. Di Australia pula, lavender ditanam sebagai bahan untuk dijadikan minyak wangi. Lavender ialah tumbuhan ynag boleh didapati sepanjang tahun. Cuaca yang panas dapat memberi bau yang wangi terhadap lavender. Pokok reneknya mempunyai daun yang kecil dicabang-cabang yang boleh membesar daripada satu hingga tiga kaki tinggi. Bunga-bunga lavender tumbuh di tangkai bunga yang panjang. Setiap tangkai mengandungi lebih kurang 6 hingga sepuluh kuntum bunga yang berwarna biru/ungu

Baunya yang harum boleh didapati di kesemua bahagian pokok yang renek ini, tetapi pati minyak hanya dapat dihasilkan daripada bunga dan tangkai bunga. Selain ditanam untuk mendapatkan pati minyak, terdapat banyak kegunaan lavender. Antaranya termasuk dijadikan sebagai serbuk pewangi yang dibungkus dan juga potpuri. Terdapat kira-kita 30 jenis lavender dan jenis yang paling popular untuk ditanam di taman-taman ialah jenis English, French dan Spanish Lavender. Majoriti minyak yang diperoleh daripada bunga tersebut terkandung di dalam kelenjar di bahagian kelopak bunga. 

Minyak yang terdapat dalam bunga kering lavender bewarna kuning cair atau kadangkala tidak mempunyai warna langsung. Kandungan utama di dalam minyak tersebut adalah linalool, asetik, ester, linalyi acetate, cineol, pinene, limonene geraniol, borneol dan sedikit tannin

Pelbagai kegunaan lavender. 



Terdapat pelbgai khasiat yang diperoleh daripada pati minyak lavender. Menghidu baunya dapat menghasilkan ketenangan, maka tidak hairanlah pati minyak lavender digunakan dalam perubatan aroma terapi untuk mengurangkan tekanan dan merehatkan badan. Pada zaman dahulu, lavender telah digunakan sebagai rempah-rempah dan sebagai bahan perasa dalam makanan. Tujuan lavender dibubuh dalam makanan adalah supaya ia dapat ‘memberi keselesaan kepada perut’. Selain itu, pati minyak lavender juga mempunyai kesan dalam mengimbangi sistem tubuh dan fikiran. Dikatakan pati minyak lavender ini dapat melegakan sakit kepala, kesedihan, tidak lena tidur, selesema, resdung dan jangkitan tekak. Lavender juga sesuai untuk mengurangkan tekanan darah tinggi, sakit-sakit otot, tergeliat dan sakit semasa haid.

-Fokus SPM 2007-


You May Also Like

0 Comment

Greetings and Assalamualaikum...
Sila tinggalkan komen anda di sini..
Will pay a visit back! Thank You